Selasa, 27 April 2010

Menjejaki bumi ambia

Bulan Jun 2009 saya dan isteri menunaikan umrah dan ziarah ke bumi ambia Mesir. Di Mesir kami menginap di Giza. Piramid dan Sphinx binaan tinggalan Firaun antara tempat lawatan . Disamping itu kami juga dibawa ke perkampungan Firaun melihat corak kehidupan zamannya dan teknologi yang ada pada ketika itu. Kemudian kami dibawa melawat Institut Papyrus. Bandar Iskandariah kami lawati melihat Istana Raja Farouk di Mohtazah berhadapan dengan laut Mediteranian. Raja yang hidup mewah membiarkan rakyatnya menderita kemiskinan akhirnya turun takhta atas kebongkakkannya. Seterusnya kami melawat Masjid Al-Morsy. Kemudian kami melawat ke bandar Kaherah dan Tanta.Makam imam Shafie kami kunjungi mazhab yang dianuti dalam hukum fekah.Makam Nabi Daniel, Lukman Hakim dan para wali Allah antara destinasi yang dikunjungi untuk melihat dengan lebih dekat rehlah imaniah mereka mencari damai Ilahi. Kami juga dibawa ke bazar Khan Khalili dan Masjid Al-Azhar.Kubu Salehudin Al-Ayubi yang tersegam indah memaparkan kesungguhan kerja buat Islamnya yang Allah hadiahkan mampu membebaskan bumi Palestin dari cengkaman Yahudi. Kesempatan itu juga digunakan mengunjungi adik-adik dari Malaysia yang belajar di Universiti Kaherah.Kunjungi kami disambut dengan mesra mungkin untuk melepaskan rindu mereka dengan keluarga di kampong. Lawatan di Mesir berakhir dengan menaiki Cruise menyusuri Sungai Nil yang menyimpan seribu rahsia bumi ambia Mesir.















Bumi Mesir kami tinggalkan untuk meneruskan perjalanan ke Arab Saudi bagi menunaikan umrah. Sampai sahaja di lapangan terbang Jeddah kami meneruskan perjalanan dengan bas ke bumi Madinah Al-Munawarah. Kami menginap di hotel Mawaddah Al-Safwa. Solat subuh di Masjid Nabawi dan lawatan dalam masjid sekitar raudhah dan makam Rasul s.a.w serta makam sahabat Abu Bakar, Omar. Seterusnya kami melawat ke Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh, Masjid Jumaah dan Kebun Kurma. Hari kedua melawat ke perkampungan yahudi rumah Kaab bin Asraf. Melihat tinggalan perkampungan yahudi zaman rasul s.a.w. Kemudian melawat ke Bukit terbakar dan Bukit Magnet. Ajaibnya di Bukit Magnet bas kami yang sarat dengan penumpang boleh ditarik sehingga kelajuan 160 km. Hari ketiga melawat makam Uhud, melihat makam syuhada uhud yang berjuang mempertahankan Islam dan rasul s.a.w. Setelah itu kami dibawa ke kilang pencetakan al-quran. Sebelum pulang ke hotel dibawa ke pasar kurma.Di masjid Nabawi satu peristiwa pelik berlaku ke atas diriku yang hingga ini belum lagi diceritakan kepada orang lain kecuali isteri yang turut serta dalam ibadah umrah tempohari. Setelah 3 hari berada di bumi Madinah kami bersiap untuk ke Mekah bagi menunaikan ibadah umrah. Setelah siap barang dimasukan ke dalam bas kami bergerak ke Bir Ali untuk miqat umrah. Sampai sahaja kami di Mekah kami dibawa ke Hotel bersebelahan dengan tapak rumah Rasul dilahirkan Hotel Jawharat. Setelah berehat sebentar kami dipimpin oleh Ustaz Hj.Khairi menunaikan umrah dengan memasuki Masjidil Haram melalui pintu babus salam. Setelah tawaf dan saie serta tahalul selesailah ibadah umrah pertama kami. Hari kedua di Mekah kami dibawa melawat ke Jeddah melawat masjid Rahmah(terapung) tepi laut merah dan dan Masjid hudud (Baghdadi) tempat pelaksanaan hukum hudud di Jeddah. Setelah itu kami melawat pasar Carnis . Di sini kami makan Bakso dan ais kacang masakan melayu Indonesia. Setelah itu kami niat miqat di Masjid Rahmah untuk umrah kedua. Hari ketiga kami keluar menziarahi makam saidatina khadijah di perkuburan Mala dan perkuburan Saidatina Maimunah. Seterusnya miqat diTanaim untuk umrah ketiga. Hari keempat kami dibawa melawat muzium purba dan seterusnya melawat Gua Hira, Arafah, Mina dan Muzdhalifah seterusnya miqat di masjid Ja'ranah untuk umrah keempat. Hari kelima kami dibawa melawat ke Hudaibiah dan miqat umrah yang kelima.








Isnin, 26 April 2010

Kunjungan Muhibbah Mencari Asal Keturunan Minangkabau

Cuti bulan Mac 2009 digunakan sepenuhnya untuk membawa isteri dan anak-anak berkunjung ke Negeri Serambi Mekah Pulau Sumatera iaitu Bukit Tinggi dan Jambi. Negeri yang melahirkan ulama Indonesia Pak Hamka. Tanah kelahiran dan tempat menimba ilmunya ku jejaki dalam kesempatan selama satu minggu berada di sana. Kesempatan itu juga digunakan melihat tanah tumpah darah keturunan sebelah ibu di Pagar Ruyung. Istana lindungan bulan dikunjungi melihat susur galur ibu yang berketurunan raja pagar ruyung. Di Bukit Tinggi kami menginap di rumah Bundo Kg.Tabek Patah, Dusun Tuo Salimpaung. Kami dibawa ke Danau Meninjau melihat kampung tradisional dari atas bukit sayup kelihatan sawah padi di lereng-lereng bukit satu pemandangan yang sangat indah. Di sini juga kami sempat menghadiri majlis perkahwinan saudara sebelah bapa mertua. Kenduri yang masih kuat berpegang kepada semangat gotong royong, saya lihat semua tetamu yang hadir membawa barang makanan mentah yang dibungkus dalam kain untuk diberi kepada tuan rumah.Saya mengambil kesempatan mengunjungi sekolah SMA melihat pusat sumber dan berbincang dengan guru mengenai pendidikan di Indonesia dan memberi info pendidikan di Malaysia. Disamping itu juga berkesempatan melihat proses pilihanraya berjalan bagi memilih pemimpin bagi mewakili rakyat Indonesia. Di sini demokrasi dapat dilihat dalam amalan media yang menyiarkan semua parti yang bertanding. Mereka boleh menggunakan tv dan menyatakan manifesto parti masing-masing. Jauh bezanya media di negara sendiri. Kesempatan itu juga dapat melihat tempat mereka mengadakan rapat umum dan turut mengikut calon yang bertanding. Kebetulan 3 orang saudara sebelah isteri turut serta bertanding dalam pilihanraya itu. Di kota Jambi saya mengambil kesempatan mengunjungi sebuah sekolah SMP juga melihat pusat sumber dan penggunaan ICT dalam P&P.Saya berkesempatan berbincangan dengan guru media dan penolong kanan sekolah tersebut. Uniknya sekolah ini dibahagian bawah bangunan untuk pusat sumber sebelah atasnya pula masjid.Satu penggabungan unsur rohani dan ilmu.Di Malaysia saya belum bertemu dengan pusat sumber seperti ini. Perjalanan dari Bukit Tinggi ke Jambi memakan masa 12 jam menyusuri jalan berbukit dengan menggunakan kenderaan toyota kijang. Dengan permukaan jalan yang tidak rata, anak-anak saya muntah dan pening sepanjang perjalanan tersebut. Satu kepujian harus diberi kepada pemandu di sana walaupun jalannya tidak sehebat di Malaysia tetapi sangat bertolak ansur sebab itu jarang kemalangan berlaku.Jika hendak memotong hanya bunyikan hon kenderaan dihadapan dan dari arah hadapan akan memperlahankan kenderaan untuk memberi laluan kepada kenderaan yang ingin memotong.








































Rabu, 14 April 2010

Sambutan Hari Lahir Ayah Ke 79

Perjumpaan keluarga sempena hari lahir ayah ke 79 dan sambutan hari raya aidil fitri. Semua anak, menantu, cucu dan cicit hadir sama dalam perjumpaan itu. Anak 7, menantu 6, cucu 39 dan cicit 25.















Ziarah adik di Melbourne

Pada bulan Jun 2008 kami ke Melbourne untuk menziarahi adik yang menyambung belajar peringkat PHD. Alhamdulillah kesempatan di sana selama hampir 2 minggu digunakan sepenuhnya untuk menjelajahi bumi kanggaro. Sydney, Canberra dan Melbourne tiga bandar utama itu kami jejaki dengan menyewa MPV. Pengalaman memandu selama 17 jam cukup teruja dari Melbourne ke Sydney. Masjid menjadi tempat untuk rehlah iman disamping tempat untuk mengisi makanan jasmani. Masjid di sini menyediakan taman permainan untuk anak-anak disamping kemudahan dapur untuk musafir menyediakan makanan.Sebagai warga pendidik institusi pendidikan di sana juga menjadi tempat yang dilawati. Antaranya Universiti Monash, Sek.Ren. Clayton dan Pra Sekolah di Clayton. Pusat Sumber antara tempat yang ditinjau khususnya di Clayton Melbourne. Walaupun ketika itu cuaca sejuk hingga mencengkam tulang sayangnya salji hanya turun setelah seminggu kami pulang ke Malaysia.
































Nostalgia Australia

 

Hak Cipta Terpelihara Pusat Kegiatan Guru Seberang Perak 2009 email pkgseberangperak@gmail.com